BLOG ARCHIVE
PELAWAT
RUANG LEGAR
LIKE
FOLLOWERS
Thursday, May 1, 2014
PENTAKSIRAN MEMBACA
Pentaksiran merupakan pemerhatian terhadap
pelajar secara sistematik dan pengumpulan bukti untuk mendokumenkan cara
pelajar belajar dan kemajuan dalam apa yang diajarkan. Pentaksiran membaca
adalah proses yang melibatkan pemerolehan bukti melalui hasil soalan khusus
seperti ujian dan tinjauan. Pentaksiran membaca juga merupakan satu kaedah
untuk memperoleh dan mengumpul maklum balas pelajar dalam pembacaan sesuatu
teks. Guru akan membuat penilaian sejauh mana pembacaan telah terlaksana dan
menentukan langkah seterusnya yang diperlukan untuk meneruskan proses
pembacaan. Pentaksiran dapat membantu pelajar menjadi pemantau yang lebih baik
dan melibatkan diri mereka dalam pembelajaran mereka sendiri. Pentaksiran
membaca juga dapat mempertingkatkan hubungan guru dan pelajar melalui cara guru
menunjukkan bahawa guru bena-benar berminat dengan kemajuan dan pencapaian
pelajarnya.
Dalam konteks pendidikan,
pentaksiran ialah:
- Kaedah
siasatan bagi menentukan tahap pembelajaran.
- Kaedah
untuk memperoleh dan mengumpul maklum balas penting.
- Proses
menilai pelajar dalam konteks pendidikan.
- Proses
mendokumenkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan kepercayaan.
- Pendekatan
dan teknik pengajaran yang penting.
- Proses yang
sentiasa berkitar dan berterusan bagi menilai pengajaran dan pembelajaran.
- Kaedah
untuk menentukan hala tuju pengajaran dan pembelajaran.
- Alat
diagnostik dan penilaian.
Pentaksiran paling sesuai digunakan semasa:
- Dikongsi
bersama pelajar yang terlibat.
- Menumpukan
pada bahagian pembelajaran yang khusus dan kemajuan individu.
- Digunakan
untuk pelajar mengenal pasti cara untuk memperbaiki diri.
- Sasaran dan
pencapaian jelas berhubung kait.
- Mengakui
kemajuan dan menerangkan dengan jelas cara untuk mempertingkat kemajuan.
Tujuan pentaksiran dilakukan adalah:
- Membolehkan
guru dan pelajar menetapkan standard kerja mereka dan memikirkan cara
mereka dapat memperbaiki kerja mereka.
- Membantu
guru merancang pengajaran yang berkesan bagi memenuhi keperluan
individusetiap pelajar.
- Membolehkan
pemantauan ke atas kualiti pelajaran yang disampaikan.
- Membolehkan
kemajuan pelajar dipantau secara berkesan bagi memastikan sasaran
tercapai.
- Dapat
membantu dalam memotivasikan pelajar.
- Dapat
membantu memastikan segala ujian dan tugasan adalah relevan dan mendorong
proses pencapaian.
Kesimpulannya, pengujian, pengukuran dan
penilaian berkesan yang dijalankan oleh guru di bilik darjah dapat membantu
guru mempertingkatkan pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
serta membantu guru dalam memperkembangkan teknik, kaedah dan mengsan kelemahan
pelajar.
Wednesday, April 30, 2014
PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA
Pendekatan
yang digunakan untuk mengajar membaca perlu sesuai untuk memastikan murid dapat
menguasai kemahiran membaca. Pendekatan yang digunakan untuk setiap individu
adalah berbeza-beza mengikut peringkat umur dan tahap pemahaman mereka. Terdapat
tiga pendekatan dalam mengajar membaca, iaitu:
(i)
Pendekatan Holistik
Menurut
Mahzan Arshad (2003), pendekatan holistik banyak diperkenalkan di negara ini terutamanya dalam pengajaran membaca dalam Bahasa Melayu. Pendekatan ini bertujuan untuk
mengembangkan potensi dan bakat seseorang individu dalam proses pembelajaran. Lebih-lebih lagi, pendekatan pengajaran membaca secara tradisional tidak memberangsangkan. Hal ini
demikian kerana, pengajaran membaca di sekolah terlalu mementingkan mendekod dan
mengenal pasti perkataan secara keseluruhan. Bagi menggantikan pendekatan ini,
pendekatan holistik telah diwujudkan. Prinsip asas pendekatan ini ialah
murid-murid bukan sahaja didedahkan dengan kemahiran membaca tetapi juga untuk
menikmati bahan bacaan tersebut. Pendekatan ini diperkenalkan kerana penulis
mendapati kebanyakan masyarakat Malaysia mempunyai kadar membaca yang tinggi
tetapi tidak mempunyai minat membaca. Diharapkan agar pendekatan ini mampu mengubah
situasi ini.
(ii)
Pendekatan Keseluruhan Kata
Pendekatan
ini paling popular digunakan dalam pengajaran membaca pada zaman sekarang.
Pendekatan ini menekankan bunyi huruf tentang bunyi keseluruhan perkataan yang
terdapat pada sesuatu bahan bacaan dengan bantuan grafik untuk merujuk kepada
benda yang dipamerkan. Berpandukan gambar yang dilabelkan berhampiran dengan
perkataan tersebut, kanak-kanak boleh menyebut perkataan untuk mewakili maksud
yang ingin disampaikan oleh gambar tersebut. Oleh itu, pendekatan ini lebih
sesuai digunakan oleh kanak-kanak prasekolah dalam lingkungan umur 0-6 tahun.
(iii)
Pendekatan Teknologikal
Pendekatan
ini menekankan keupayaan untuk menghasilkan bahan pengajaran berurutan yang
dapat dilakukan semula pada masa hadapan. Di samping itu, pendekatan ini juga
menitikberatkan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan telah terbukti tentang kebenarannya. Pendekatan ini sebagai sistem membaca
berdasarkan empat objektif, iaitu membaca berdasarkan perspektif diagnostik,
program berdasarkan kriteria, membaca berdasarkan kecekapan dan sistem
pengurusan kemahiran. Melalui pendekatan ini juga, pelajar dapat mengenal pasti
perkataan dan objektif terhadap pemahaman dan kemahiran belajar mereka. Seterusnya, ujian kriteria bagi setiap objektif untuk menentukan status dan kedudukan
individu dengan merujuk domain tingkah laku. Strategi pengajaran digunakan
untuk perkara yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti
pelajar yang memerlukan tindak balas. Akhirnya, strategi melalui contoh dapat
membantu mereka mencapai objektif yang telah ditetapkan.
PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Bahan
bacaan merupakan elemen terpenting dalam kegiatan membaca sesuai dalam usaha untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran
yang efektif dan berkesan. Bahan bacaan yang baik dapat dinilai dan dilihat
dari pelbagai aspek. Antara kriteria yang boleh dipertimbangkan dalam proses
pemilihan bahan bacaan yang baik ialah:
(i) Sesuai
dengan tahap usia pelajar
Pemilihan
bahan bacaan mestilah bersesuaian dengan peringkat umur seseorang pembaca. Hal
ini demikian kerana, setiap peringkat umur mempunyai tahap pemahaman yang
berbeza-beza. Oleh itu, pemilihan bahan bacaan yang sesuai amat penting kerana
setiap pembendaharaan kata dan kosa kata dapat digunakan serta mampu difahami
oleh pelajar. Sebagai contohnya, bagi kanak-kanak yang pada peringkat
prasekolah, iaitu yang berumur antara 0- 6 tahun, mereka masih belum mempunyai fikiran yang kritis untuk
memahami sebab dan akibat ataupun cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang
sesuatu kenyataan adalah sangat terhad jika dibandingkan dengan peringkat usia
yang lain. Golongan prasekolah lebih sesuai menggunakan ayat yang berulang-ulang
bagi memperkukuhkan pengamatan mereka terhadap huruf yang bercetak seperti buku
cerita (bukan fisyen). Selain itu, buku untuk peringkat prasekolah perlulah mengandungi teks yang pendek dengan gambar untuk memudahkan pemahaman mereka.
Oleh itu, usia yang berbeza-beza mempunyai keperluan bahan bacaan yang
berlainan juga.
(ii)
Fizikal tulisan dan ilustrasi
Fizikal
tulisan juga akan mempengaruhi keberkesanan aktiviti membaca dalam kalangan
pembaca. Fizikal tulisan boleh merujuk kepada reka bentuk tulisan tersebut,
iaitu saiz tulisan, warna tulisan, jenis tulisan, jarak tulisan dan lain-lain.
Penggunaan tulisan yang besar-besar, bergambar dan berwarna-warni lebih sesuai
untuk kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, saiz huruf yang besar tidak dapat mengelirukan mereka. Selain itu, penggunaan ilustrasi yang terang dapat menarik
minat golongan prasekolah untuk mengetahui kandungan dalam buku tersebut.
Sebaliknya, pelajar sekolah menengah boleh menggunakan tulisan dan jarak antara
tulisan yang kecil. Oleh itu, penerbit buku perlu teliti dan peka akan fizikal
tulisan yang sesuai untuk golongan pembaca yang berbagai-bagai usia sebagai langkah untuk
memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
(iii)
Bahasa yang sesuai
Kualiti
bahasa dan sastera yang bermutu tinggi akan menarik minat pelajar sekolah
menengah atas untuk membaca buku tersebut. Hal ini demikian kerana, bahasa dalam
buku tersebut dapat membantu pelajar meningkatkan literasi dalam penggunaan
kosa kata, rangkai kata, tatabahasa dan frasa yang sesuai dengan tahap umur
mereka. Selain itu, penggunaan bahasa yang bermutu akan meningkatkan kemahiran
mengarang seseorang pembaca. Pelajar sekolah menengah lebih menitikberatkan
kemahiran mengarang kerana ia penting dalam silibus pelajaran mereka.
Penguasaan bahasa yang kukuh dapat membantu mereka mendapat keputusan yang
cemerlang. Oleh itu, bahan bacaan yang baik perlu seimbang dari segi bahasa yang
digunakan agar tidak melampaui kemampuan pelajar daripada peringkat umur yang
berbeza-beza.
(iv)
Organisasi teks
Kualiti
bahan bacaan yang baik dipengaruhi oleh organisasi teksnya. Susunan perenggan,
tajuk-tajuk kecil akan menjamin kualiti sesebuah bahan bacaan. Organisasi teks
akan memudahkan pembaca untuk membaca dan memahami buku tersebut. Di samping
itu, susunan bahan bacaan juga perlu selaras dengan silibus yang diajar di
sekolah. Penulis buku perlu memastikan objektif pengajaran terlebih dahulu
sebelum menyusun bahan bacaan. Oleh itu, teks perlu disusun mengikut
kesinambungan supaya tidak mengelirukan pembaca.
(v)
Perbendaharaan kata
Faktor
perbendaharaan kata yang digunakan melibatkan kepanjangan sesuatu perkataan,
iaitu suku kata dan jumlah huruf dalam sesuatu teks bacaan. Perkataan yang
panjang selalunya perkataan yang jarang digunakan sama ada di dalam teks ataupun
istilah yang digunakan dalam bidang-bidang tertentu. Manakala, perkataan yang
kerap digunakan merupakan perkataan yang mudah dikenali dan difahami. Oleh
sebab itu, perbendaharaan kata yang ringkas harus digunakan dalam bahan bacaan
kanak-kanak manakala perbendaharaan kata yang kompleks harus didedahkan kepada
pelajar-pelajar sekolah menengah.
MASALAH DALAM MEMBACA
(1) membuang
/ meninggalkan
· bunyi huruf, perkataan dan imbuhan
sering kali ditinggalkan ketika membaca.
· Sebagai contohnya, imbuhan seperti
“mengandungi” disebut “mengandung”dan lain-lain.
(2)
Ulangan (repetition)
· Gemar mengulang-ulang perkataan atau
suku kata ketika membaca.
· Cara ini bukan disebabkan oleh
masalah gagap.
(3)
Gantian (substitute)
· Menggantikan huruf atau perkataan
dalam ayat yang dibaca sehingga boleh mengubah maksud ayat.
· Contohnya, “padang” disebut
“ladang”.
(4)
Tambahan (insertion)
·
Menambahkan bunyi huruf atau
perkataan ketika membaca sesuatu teks.
(5)
Pembalikan (reversals)
·
Huruf, perkataan atau frasa dibaca
secara terbalik atau songsang.
·
Contohnya, “Dia menendang bola”
dibaca sebagai “Bola tendang dia”.
(6)
Tidak mengenali huruf
· Situasi ini menyebabkan kanak-kanak
akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati dan meneka sahaja tanpa mengetahui
maksud sesuatu perkataan itu.
(7)
Salah sebutan
· Terjadi disebabkan oleh kanak-kanak
tidak mengenali huruf dan tidak tahu membunyikan sesuatu huruf mengakibatkan
masalah membaca berlaku.
FAKTOR YANG MENYEBABKAN MASALAH DALAM MEMBACA
Guy L.B. dan rakan-rakannya (1994) berpendapat
bahawa terdapat 3 faktor yang utama menyebabkan berlakunya masalah membaca :
(i)
Faktor fizikal
(ii)
Faktor kognitif dan bahasa
(iii)
Faktor emosi, persekitaran, sosial dan
pendidikan.
Faktor Fizikal
Faktor ini berpunca daripada masalah
penglihatan, masalah pendengaran, masalah neurologikal iaitu kerosakkan pada
otak seperti serebral palsi, aphasia dan terencat akal serta bermasalah dalam kesihatan.
Faktor Kognitif dan Bahasa
Apabila tahap kecerdasan seseorang itu rendah,
maka tahap kognitif mereka juga rendah. Hal ini disebabkan oleh, kognitif
seseorang itu bergantung pada tahap kecerdasan minda mereka.
Tahap kognitif yang rendah akan mengakibatkan proses keupayaan untuk mendapatkan kefahaman dalam pembacaan menjadi sukar. Faktor bahasa pula adalah disebabkan oleh kesukaran bagi memahami sesuatu frasa, ayat, semantik dan sebagainya.
Faktor Emosi, Persekitaran, Sosial dan Pendidikan
Faktor persekitaran yang tidak selesa akan
menyebabkan emosi seseorang untuk membaca itu terganggu. Hal ini demikian
kerana, sekiranya seseorang pembaca membaca dalam suasana yang bising
terutamanya yang tinggal di kawasan metropolitan seperti di bandar-bandar besar
yang pesat dengan kemajuan perindustrian akan menganggu emosi mereka untuk
fokus dalam proses pembacan mereka.
Terdapat juga sesetengah mereka yang kurang kasih sayang daripada keluarga dan tiada galakan daripada keluarga mereka menyebabkan semangat serta emosi untuk mempelajari sesuatu itu menjadi luntur.
Faktor pendidikan pula adalah seperti tidak
menyediakan ruang pembelajaran yang lebih intensif menyebabkan kemahiran
pembacaan seseorang itu berkurang.
CARA MENGATASI MASALAH DALAM MEMBACA
Bagi memastikan masalah dalam membaca dapat diatasi, terdapat beberapa cara yang telah dikenal pasti. Cara-cara untuk mengatasi masalah dalam membaca adalah seperti berikut:-
(i) Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA 2M)
Program Intervensi Masalah Ketidakupayaan Membaca
(i) Program Pembetulan Membaca
CARA MENGATASI MASALAH DALAM MEMBACA
Bagi memastikan masalah dalam membaca dapat diatasi, terdapat beberapa cara yang telah dikenal pasti. Cara-cara untuk mengatasi masalah dalam membaca adalah seperti berikut:-
Ujian Saringan dan Diagnostik
- Ujian Saringan (US) adalah ujian yang dilakukan bagi menyaring pelajar-pelajar berkeperluan khas daripada kelas perdana. Para guru akan dapat mengesan pelajar mereka yang dijangka memerlukan program pemulihan khas hasil daripada ujian tersebut.
-Ujian ini dilakukan untuk meninjau kelemahan dan kekuatan pelajar dalam kemahiran mata pelajaran asas.
(i) Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA 2M)
- Bertujuan bagi membantu pelajar yang masih belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu.
- Membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis.
- Strategi pengajaran dan pembelajaran KIA 2M melibatkan beberapa langkah iaitu pencalonan, ujian penapisan, perancangan, instruksi, penilaian dan tindakan susulan.
(ii) Literasi, Numerasi dan Saringan (LINUS)
- Bertujuan untuk melahirkan pelajar yang dapat menguasai asas membaca, menulis dan mengira serta mencapai keupayaan literasi dan numerasi.
Program Intervensi Masalah Ketidakupayaan Membaca
(i) Program Pembetulan Membaca
- Dijalankan untuk membantu para pelajar yang mengalami masalah membaca yang ringan.
- Memerlukan perhatian yang khusus untuk menguasai komponen asas membaca.
(ii) Program Pemulihan Membaca
- Untuk membantu para pelajar yang mengalami ketidakupayaan membaca yang sederhana dan berat.
- Perlu menjalani program membaca yang khusus daripada guru-guru yang terlatih.
- Lazimnya, kelas akan dijalankan di luar masa kelas biasa dan pelajar akan diasingkan daripada para pelajar yang lain.
(iii) Program Membaca Klinikal
- Untuk membantu para pelajar yang mempunyai masalah ketidakupayaan membaca yang berat.
- Pelajar memerlukan bantuan khusus dari seorang pakar klinikal dalam bidang bacaan agar mereka dapat menguasai kemahiran asas dalam pembacaan.
- Pelajar juga memerlukan pemulihan fizikal atau terapi yang khusus untuk menggalakkan mereka menguasai kemahiran membaca.
2.0
BELAJAR MEMBACA
Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan bahawa perkataan ‘membaca’ itu sendiri membawa maksud perbuatan memerhatikan isi sesuatu yang tertulis ataupun tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Terdapat dua proses asas dalam membaca iaitu “nyah kod” (dekod) dan konsep pemahaman. Proses dekod merupakan suatu proses yang melibatkan pemahaman mengenai hubungan dengan huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan berbentuk tulisan tadi kepada bentuk lisan. Kemahiran dekod dapat membantu seseorang untuk menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Konsep pemahaman pula bermaksud tahap kefahaman seseorang melalui proses pembacaan mereka.
Kegiatan membaca juga adalah suatu proses interaksi pembaca dengan sumber bacaannya. Dalam proses membaca, indera penglihatan memainkan peranan yang sangat penting. Hal ini demikian kerana, simbol, lambang, visual atau tulisan-tulisan yang dilihat melalui proses pembacaan itu akan bertukar kepada persembahan minda. Mata memainkan peranan yang penting dalam proses tersebut. Semasa kita membaca, mata kita akan bergerak mengikut garis dalam sesuatu bahan bacaan. Melalui pembacaan tersebut, kita memperoleh maklumat dan maklumat itu akan dihantar terus ke otak. Seterusnya, otak tadi akan menterjemahkan maklumat yang diperoleh bagi kefahaman pembaca. Melalui kefahaman, membolehkan seseorang itu memahami makna sesuatu perkataan yang dibaca.
Terdapat pelbagai cara untuk mengenal
pasti sejauh mana seseorang itu memahami apa yang dibaca dalam pembacaannya.
Antaranya termasuklah dengan menyimpan rekod terhadap isi penting bahan bacaan
dan mengabungkann idea mereka melalui proses pembacaan itu tadi. Bagi seseorang
yang memahami apa yang dibaca, mereka dapat megeluarkan semula idea-idea yang
terdapat dalam bahan bacaan yang dibaca dengan membuat sinopsis, memberikan
pendapat, mengajukan persoalan dan mengaplikasikannya dalam proses
pembelajaran.
Proses asas dalam membaca ialah
mengenal pasti permukaan bercetak dan memisahkan kod-kod perkataan. Seterusnya
ialah proses mengenal pasti bentuk ortografik untuk mendapatkan maksud
perkataan berdasarkan tahap pemikiran seseorang. Bagi mendapatkan kefahaman
dengan lebih jelas, seseorang pembaca perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi.
Membaca juga perlu ada tujuannya. Ada segelitir orang yang gemar membaca hanya
untuk menghilangkan rasa bosan sahaja, tetapi ada juga yang membaca untuk
menambahkan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran berfikir, mendapatkan
sesuatu maklumat dan sebagainya.
Selain itu, bagi meningkatkan lagi
tahap kefahaman seseorang dalam pembacaan, mereka wajar menggunakan strategi
membaca yang berkesan. Segala fakta yang penting dan pengetahuan yang baru
dapat difahami dengan mudah sekiranya mereka mengikut strategi membaca yang
betul. Kaedah pembacaan yang berkesan adalah dengan cara membaca secara
ekstensif dan intensif. Oleh itu, jelaslah bahawa tahap kefahaman pembacaan
seseorang itu adalah bergantung pada bagaimana proses pembacaan mereka untuk
mendapatkan sesuatu maklumat dan pengetahuan.
Tuesday, April 29, 2014
TEORI MEMBACA
Di dalam teori proses membaca, terdapat beberapa teori yang telah dikenal pasti iaitu teori Bottom-Up, teori Top-Down, teori Interaktif dan teori Transaksional.
TEORI BOTTOM-UP
Teori Bottom-up ini bermaksud dari bawah ke atas. Maksudnya, makna berasal dari bawah (teks) menuju ke atas (otak/kepala). Menurut teori ini teks yang akan menentukan pemahaman seseorang pembaca. Menurut Harris & Sipay (1980), membaca dalam proses Bottom-Up merupakan proses yang melibatkan ketepatan, perincian, dan rangkaian persepsi dan identifikasi huruf-huruf, kata-kata, pola ejaan, dan juga unit bahasa lainnya. Brown (2001) pula menyatakan bahawa melalui proses Bottom-Up, pembaca terlebih dahulu perlu mengetahui tanda linguistik, kemudian menggunakan mekanisme pemprosesan yang masuk akal, koheren dan bermakna.
Melalui teori ini, pembaca perlu mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat pada bahan bertulis terlebih dahulu, iaitu sama ada huruf tersebut dalam bentuk ortografi yang paling banyak digunakan oleh pelbagai bahasa di dunia pada masa ini seperti bentuk huruf roman iaitu tulisan rumi dan bentuk huruf arab iaitu tulisan jawi. Huruf-huruf ini seterusnya akan digabungkan dalam satu sistem ejaan yang digunakan dalam sesuatu bahasa untuk membentuk perkataan yang tertentu. Dari perkataan yang dibentuk, pembaca akan memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk daripada kumpulan perkataan tersebut. Seterusnya, perenggan pula akan terbina daripada ayat yang telah terbentuk yang akan memberikan maksud secara berwacana kepada pembaca. Proses ini akan menjadi lengkap apabila pembaca memperoleh maklumat yang lengkap daripada bahan yang dibacanya.
Rajah ini akan menerangkan bagaimana proses membaca bermula dari bawah ke atas seperti dalam teori Bottom-Up.

Teori
ini juga dikenali sebagai model psikolinguistik dalam membaca dan telah dikembangkan
oleh Goodman (1976). Teori ini melihat bahawa membaca adalah sebahagian dari
proses pengembangan skema seseorang yakni pembaca secara stimultan
(terus-menerus) menguji dan menerima atau menolak hipotesis yang dibuat sendiri
pada saat proses membaca berlangsung. Proses membaca melalui teori ini bermula
dengan hipotesis dan prediksi kemudian memverifikasinya dengan menggunakan
stimulus yang berupa tulisan yang ada pada teks.
Menurut Yahya Othman (2003), teori Top-down merupakan proses dalam
pembacaan seseorang pembaca dan pergerakan bahan bacaannya yang masih bersifat
linear tetapi bergerak dari atas ke bawah. Teori yang berasaskan model
psikolinguistik oleh Goodman ini lebih mengutamakan peranan pembaca semasa
memahami teks yang dibacanya. Pembaca juga akan menggunakan pengetahuan bahasa
dan pengalaman yang sedia ada pada diri pembaca bagi mengaitkannya dengan makna
yang terdapat di dalam teks untuk memudahkan pembaca memahami teks.
Melalui teori ini, pembaca tidak
perlu mengenal pasti setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak
secara terperinci seperti teori Bottom-Up. Pembaca hanya perlu memahami bahan
bacaan secara keseluruhan terlebih dahulu. Setelah itu, pembaca perlu membuat
perincian mengenai maksud perenggan yang berbeza dan seterusnya mencerakinkan
ayat-ayat yang terdapat pada setiap perenggan. Teori ini mengutamakan pembaca
agar mendapat maklumat secara menyeluruh tanpa mementingkan tatabahasa dalam
teks. Oleh itu, makna adalah lebih utama berbanding perkataan dalam teori ini.
Rajah berikut akan menerangkan
bagaimana proses membaca bermula dari atas ke bawah seperti dalam teori
Top-Down.

TEORI INTERAKTIF
Teori Interaktif menggabungkan teori Top-Down dan teori Bottom-Up. Teori Top-Down yang digunakan dalam model Interaktif bertujuan supaya pembaca dapat menggunakan teori Top-Down untuk mencari maksud bagi mendapatkan sesuatu maklumat manakala model Bottom-Up digunakan untuk menganalisis fakta dan kebenaran maklumat yang diberikan oleh penulis.
Pengamal teori Interaktif akan berpendapat kegiatan membaca sebagai interaksi antara pembaca dengan teks. Dalam proses interaktif, membaca dimulakan dengan hipotesis sesuatu maklumat dan beralih kepada penghuraian maklumat tersebut. Teori Interaktif digunakan secara serata antara pengetahuan informasi grafik dan informasi dalam diri pembaca. Rubin (1982) menyatakan bahawa dalam model Interaktif, proses membaca ialah proses intelektual yang kompleks serta merangkumi dua kemampuan utama iaitu kemampuan memahami makna kata dan kemampuan berfikir tentang konsep verbal. Proses membaca secara interaktif juga merupakan mekanisme membaca yang menggunakan interaksi dalam pembacaan, berkomunikasi, menyampaikan dan menerima mesej bacaan dalam bahan bacaan yang dibaca. Proses bacaan ini lebih kepada mendapatkan maklumat daripada bahan rujukan yang sedang dibaca dengan menggunakan kawalan secara interaktif. Selain itu, pembaca digalakkan untuk mengungkapkan makna yang terkandung di dalamnya atau makna yang ingin disampaikan oleh penulis melalui teks yang dibacanya. Oleh itu, model Interaktif melibatkan banyak faktor yang bertujuan untuk memperoleh pemahaman melalui proses interaksi antara pembaca dengan bahan bacaanya.
Pengamal teori Interaktif akan berpendapat kegiatan membaca sebagai interaksi antara pembaca dengan teks. Dalam proses interaktif, membaca dimulakan dengan hipotesis sesuatu maklumat dan beralih kepada penghuraian maklumat tersebut. Teori Interaktif digunakan secara serata antara pengetahuan informasi grafik dan informasi dalam diri pembaca. Rubin (1982) menyatakan bahawa dalam model Interaktif, proses membaca ialah proses intelektual yang kompleks serta merangkumi dua kemampuan utama iaitu kemampuan memahami makna kata dan kemampuan berfikir tentang konsep verbal. Proses membaca secara interaktif juga merupakan mekanisme membaca yang menggunakan interaksi dalam pembacaan, berkomunikasi, menyampaikan dan menerima mesej bacaan dalam bahan bacaan yang dibaca. Proses bacaan ini lebih kepada mendapatkan maklumat daripada bahan rujukan yang sedang dibaca dengan menggunakan kawalan secara interaktif. Selain itu, pembaca digalakkan untuk mengungkapkan makna yang terkandung di dalamnya atau makna yang ingin disampaikan oleh penulis melalui teks yang dibacanya. Oleh itu, model Interaktif melibatkan banyak faktor yang bertujuan untuk memperoleh pemahaman melalui proses interaksi antara pembaca dengan bahan bacaanya.
Rajah berikut akan menerangkan mengenai teori Interaktif dalam membaca.

Klik SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teori Interaktif.
TEORI TRANSAKSIONAL
TEORI TRANSAKSIONAL
Teori Transaksional merupakan sebahagian daripada teori Interaktif. Makna yang terdapat dalam teks akan menjadi keutamaan kepada pembaca melalui teori Transaksional.
Teori Transaksional juga merupakan teori membaca yang dibuat untuk membina makna daripada kombinasi pembaca tertentu dalam masa yang tertentu dengan teks yang tertentu. Kombinasi tersebut merupakan transaksi antara pengarang, pembaca dan teks. Oleh itu, guru perlu berinisiatif melakukan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelajar untuk membaca seperti sentiasa bertanya soalan. Pelajar mampu didorong untuk membaca dengan lebih mendalam bagi memperoleh makna dan menggalakkan transaksi bacaan menjadi lebih kompleks melalui soalan yang ditanya. Pendirian pembacalah yang menentukan pengalaman yang mereka peroleh daripada teks.
Rajah berikut akan menerangkan mengenai teori transaksional dalam membaca.
Rajah berikut akan menerangkan mengenai teori transaksional dalam membaca.
Klik SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teori Transaksional.
DEFINISI MEMBACA
Sebelum memahami dengan lebih lanjut lagi mengenai membaca, kita hendaklah mengetahui mengenai definisi membaca terlebih dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, “baca” bermaksud melihat isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan cara meneliti dan memahami makna dan tujuan isi tersebut (klik SINI). Berikut merupakan definisi membaca mengikut Harris dan Sipay (1980), Smith dan Johnson (1980), Safiah Othman (1991), Goodman (1973) dan Mahzan Arshad (2003).
Menurut Harris dan Sipay (1980) dalam mendefinisikan membaca telah menegaskan bahawa seseorang itu perlu mahir atau mampu membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap sesuatu lambang yang dibacanya. Harris dan Sipay juga menjelaskan bahawa seseorang yang mampu membaca ialah orang yang mampu membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan yang tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep yang tertentu. Walau bagaimanapun, terdapat banyak tulisan yang terdapat di dunia ini merupakan lambang lukisan yang telah dipermudahkan, contohnya aksara Jepun, Cina dan Korea.
Smith dan Johnson (1980) pula mendefinisikan bahawa membaca lebih berkait dengan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Mereka menjelaskan bahawa membaca ialah proses memahami perkara yang dimaksudkan oleh penulis berdasarkan bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis.
Safiah Othman (1991) menjelaskan bahawa keupayaan membaca merupakan keupayaan membuat tanggapan terhadap perkara yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Beliau juga menjelaskan bahawa selagi seseorang itu tidak memahami perkara yang dibaca olehnya, maka dia sebenarnya belum lagi membaca. Hal ini bermaksud bahawa pemberian makna terhadap bahan yang dibaca sangat penting bagi memastikan bahawa seseorang itu mempunyai keupayaan untuk membaca atau mempunyai kemahiran membaca. Selagi seseorang itu mempunyai masalah dalam proses memberi makna, maka dia sebenarnya belum lagi membaca.
Goodman (1973) menyatakan bahawa membaca merupakan satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud bahawa pembaca seolah-olah berteka-teki dengan bahan bercetak yang dibaca olehnya di mana pembaca tidak semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi pembaca membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan tersebut berdasarkan maksud yang paling hampir dengan perkataan yang tidak dapat dikenal pasti olehnya.
Mahzan Arshad (2003) pula menegaskan bahawa membaca merupakan satu proses membina jambatan antara perkara yang terdapat pada bahan bertulis dengan perkara yang terdapat pada minda pembaca. Definisi yang dikemukakan oleh Mahzan ini adalah berdasarkan satu teori bacaan yang sangat berpengaruh pada tahun 1990an, iaitu teori skema (klik SINI atau SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Teori Skema). Menurut Mahzan juga, proses membaca ialah proses mengaitkan perkara yang terdapat dalam minda seseorang dengan perkara yang dibacanya pada permukaan bertulis dan semakin banyak perkara yang diketahui olehnya tentang isu yang diperkatakan dalam bahan bertulis, semakin mudah bagi pembaca untuk memahami perkara yang dibacanya.

SEUNTAI KATA PENA
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,
Blog ini ditubuhkan bagi memenuhi tugasan kumpulan bagi kursus BMK3033: Keterampilan Membaca bagi Semester 2 Sesi 2013/2014. Kumpulan kami terdiri daripada 4 orang iaitu, Noorliyana binti Japar (D20121058803), Nor Zuziani binti Said (D20121058851), Chong Luan Ni (D20121058578) dan Sim Pei Kee (D20121058579).
Ahli Kumpulan kami :
Noorliyana Binti Japar |
![]() |
Chong Luan Ni |
![]() |
Sim Pei Kee |
Terdapat 7 perkara utama yang dibincangkan dalam blog ini, iaitu :-
i) Definisi membaca
ii) Teori membaca
iii) Belajar membaca
iv) Masalah dalam membaca
v) Pemilihan bahan bacaan
vi) Pendekatan dalam mengajar membaca
vii) Pentaksiran membaca
Kami berharap agar ilmu yang kami kongsikan ini dapat memberi manfaat kepada individu lain.
Subscribe to:
Posts (Atom)