Wednesday, April 30, 2014

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA

Posted by Noorliyana Japar at 12:31 PM
Pendekatan yang digunakan untuk mengajar membaca perlu sesuai untuk memastikan murid dapat menguasai kemahiran membaca. Pendekatan yang digunakan untuk setiap individu adalah berbeza-beza mengikut peringkat umur dan tahap pemahaman mereka. Terdapat tiga pendekatan dalam mengajar membaca, iaitu:

(i) Pendekatan Holistik
Menurut Mahzan Arshad (2003), pendekatan holistik banyak diperkenalkan di negara ini terutamanya dalam pengajaran membaca dalam Bahasa Melayu. Pendekatan ini bertujuan untuk mengembangkan potensi dan bakat seseorang individu dalam proses pembelajaran. Lebih-lebih lagi, pendekatan pengajaran membaca secara tradisional tidak memberangsangkan. Hal ini demikian kerana, pengajaran membaca di sekolah terlalu mementingkan mendekod dan mengenal pasti perkataan secara keseluruhan. Bagi menggantikan pendekatan ini, pendekatan holistik telah diwujudkan. Prinsip asas pendekatan ini ialah murid-murid bukan sahaja didedahkan dengan kemahiran membaca tetapi juga untuk menikmati bahan bacaan tersebut. Pendekatan ini diperkenalkan kerana penulis mendapati kebanyakan masyarakat Malaysia mempunyai kadar membaca yang tinggi tetapi tidak mempunyai minat membaca. Diharapkan agar pendekatan ini mampu mengubah situasi ini.

(ii) Pendekatan Keseluruhan Kata
Pendekatan ini paling popular digunakan dalam pengajaran membaca pada zaman sekarang. Pendekatan ini menekankan bunyi huruf tentang bunyi keseluruhan perkataan yang terdapat pada sesuatu bahan bacaan dengan bantuan grafik untuk merujuk kepada benda yang dipamerkan. Berpandukan gambar yang dilabelkan berhampiran dengan perkataan tersebut, kanak-kanak boleh menyebut perkataan untuk mewakili maksud yang ingin disampaikan oleh gambar tersebut. Oleh itu, pendekatan ini lebih sesuai digunakan oleh kanak-kanak prasekolah dalam lingkungan umur 0-6 tahun.

(iii) Pendekatan Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan untuk menghasilkan bahan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa hadapan. Di samping itu, pendekatan ini juga menitikberatkan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan telah terbukti tentang kebenarannya. Pendekatan ini sebagai sistem membaca berdasarkan empat objektif, iaitu membaca berdasarkan perspektif diagnostik, program berdasarkan kriteria, membaca berdasarkan kecekapan dan sistem pengurusan kemahiran. Melalui pendekatan ini juga, pelajar dapat mengenal pasti perkataan dan objektif terhadap pemahaman dan kemahiran belajar mereka. Seterusnya, ujian kriteria bagi setiap objektif untuk menentukan status dan kedudukan individu dengan merujuk domain tingkah laku. Strategi pengajaran digunakan untuk perkara yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Akhirnya, strategi melalui contoh dapat membantu mereka mencapai objektif yang telah ditetapkan. 



0 comments:

Post a Comment

 

KETERAMPILAN MEMBACA Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review