Tuesday, April 29, 2014

DEFINISI MEMBACA

Posted by Noorliyana Japar at 4:14 AM

Sebelum memahami dengan lebih lanjut lagi mengenai membaca, kita hendaklah mengetahui mengenai definisi membaca terlebih dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, “baca” bermaksud melihat isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan cara meneliti dan memahami makna dan tujuan isi tersebut (klik SINI). Berikut merupakan definisi membaca mengikut Harris dan Sipay (1980), Smith dan Johnson (1980), Safiah Othman (1991), Goodman (1973) dan Mahzan Arshad (2003).

     Menurut Harris dan Sipay (1980) dalam mendefinisikan membaca telah menegaskan bahawa seseorang itu perlu mahir atau mampu membaca lambang-lambang bercetak bagi memberikan makna terhadap sesuatu lambang yang dibacanya. Harris dan Sipay juga menjelaskan bahawa seseorang yang mampu membaca ialah orang yang mampu membezakan antara lambang yang bertulis dalam sesuatu bentuk tulisan yang tertentu dan lambang yang bukan bertulis, iaitu dalam bentuk lukisan bagi mengungkap sesuatu objek atau konsep yang tertentu. Walau bagaimanapun, terdapat banyak tulisan yang terdapat di dunia ini merupakan lambang lukisan yang telah dipermudahkan, contohnya aksara Jepun, Cina dan Korea.

     Smith dan Johnson (1980) pula mendefinisikan bahawa membaca lebih berkait dengan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Mereka menjelaskan bahawa membaca ialah proses memahami perkara yang dimaksudkan oleh penulis berdasarkan bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis.

   Safiah Othman (1991) menjelaskan bahawa keupayaan membaca merupakan keupayaan membuat tanggapan terhadap perkara yang ingin dimaksudkan oleh penulis. Beliau juga menjelaskan bahawa selagi seseorang itu tidak memahami perkara yang dibaca olehnya, maka dia sebenarnya belum lagi membaca. Hal ini bermaksud bahawa pemberian makna terhadap bahan yang dibaca sangat penting bagi memastikan bahawa seseorang itu mempunyai keupayaan untuk membaca atau mempunyai kemahiran membaca. Selagi seseorang itu mempunyai masalah dalam proses memberi makna, maka dia sebenarnya belum lagi membaca.

     Goodman (1973) menyatakan bahawa membaca merupakan satu permainan teka-teki. Hal ini bermaksud bahawa pembaca seolah-olah berteka-teki dengan bahan bercetak yang dibaca olehnya di mana pembaca tidak semestinya mengetahui ungkapan kata-kata yang terdapat pada bahan yang dibacanya, tetapi pembaca membuat tekaan terhadap sesuatu perkataan tersebut berdasarkan maksud yang paling hampir dengan perkataan yang tidak dapat dikenal pasti olehnya.

     Mahzan Arshad (2003) pula menegaskan bahawa membaca merupakan satu proses membina jambatan antara perkara yang terdapat pada bahan bertulis dengan perkara yang terdapat pada minda pembaca. Definisi yang dikemukakan oleh Mahzan ini adalah berdasarkan satu teori bacaan yang sangat berpengaruh pada tahun 1990an, iaitu teori skema (klik SINI atau SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Teori Skema). Menurut Mahzan juga, proses membaca ialah proses mengaitkan perkara yang terdapat dalam minda seseorang dengan perkara yang dibacanya pada permukaan bertulis dan semakin banyak perkara yang diketahui olehnya tentang isu yang diperkatakan dalam bahan bertulis, semakin mudah bagi pembaca untuk memahami perkara yang dibacanya.

0 comments:

Post a Comment

 

KETERAMPILAN MEMBACA Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review