Wednesday, April 30, 2014

BELAJAR MEMBACA

Posted by Noorliyana Japar at 7:50 AM

Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan bahawa perkataan ‘membaca’ itu sendiri membawa maksud perbuatan memerhatikan isi sesuatu yang tertulis ataupun tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Terdapat dua proses asas dalam membaca iaitu “nyah kod” (dekod) dan konsep pemahaman. Proses dekod merupakan suatu proses yang melibatkan pemahaman mengenai hubungan dengan huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan berbentuk tulisan tadi kepada bentuk lisan. Kemahiran dekod dapat membantu seseorang untuk menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Konsep pemahaman pula bermaksud tahap kefahaman seseorang melalui proses pembacaan mereka.     
  
        Kegiatan membaca juga adalah suatu proses interaksi pembaca dengan sumber bacaannya. Dalam proses membaca, indera penglihatan memainkan peranan yang sangat penting. Hal ini demikian kerana, simbol, lambang, visual atau tulisan-tulisan yang dilihat melalui proses pembacaan itu akan bertukar kepada persembahan minda. Mata memainkan peranan yang penting dalam proses tersebut. Semasa kita membaca, mata kita akan bergerak mengikut garis dalam sesuatu bahan bacaan. Melalui pembacaan tersebut, kita memperoleh maklumat dan maklumat itu akan dihantar terus ke otak. Seterusnya, otak tadi akan menterjemahkan maklumat yang diperoleh bagi kefahaman pembaca. Melalui kefahaman, membolehkan seseorang itu memahami makna sesuatu perkataan yang dibaca.
       
        Terdapat pelbagai cara untuk mengenal pasti sejauh mana seseorang itu memahami apa yang dibaca dalam pembacaannya. Antaranya termasuklah dengan menyimpan rekod terhadap isi penting bahan bacaan dan mengabungkann idea mereka melalui proses pembacaan itu tadi. Bagi seseorang yang memahami apa yang dibaca, mereka dapat megeluarkan semula idea-idea yang terdapat dalam bahan bacaan yang dibaca dengan membuat sinopsis, memberikan pendapat, mengajukan persoalan dan mengaplikasikannya dalam proses pembelajaran.

       Proses asas dalam membaca ialah mengenal pasti permukaan bercetak dan memisahkan kod-kod perkataan. Seterusnya ialah proses mengenal pasti bentuk ortografik untuk mendapatkan maksud perkataan berdasarkan tahap pemikiran seseorang. Bagi mendapatkan kefahaman dengan lebih jelas, seseorang pembaca perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi. Membaca juga perlu ada tujuannya. Ada segelitir orang yang gemar membaca hanya untuk menghilangkan rasa bosan sahaja, tetapi ada juga yang membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran berfikir, mendapatkan sesuatu maklumat dan sebagainya.

        Selain itu, bagi meningkatkan lagi tahap kefahaman seseorang dalam pembacaan, mereka wajar menggunakan strategi membaca yang berkesan. Segala fakta yang penting dan pengetahuan yang baru dapat difahami dengan mudah sekiranya mereka mengikut strategi membaca yang betul. Kaedah pembacaan yang berkesan adalah dengan cara membaca secara ekstensif dan intensif. Oleh itu, jelaslah bahawa tahap kefahaman pembacaan seseorang itu adalah bergantung pada bagaimana proses pembacaan mereka untuk mendapatkan sesuatu maklumat dan pengetahuan.


0 comments:

Post a Comment

 

KETERAMPILAN MEMBACA Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review