Tuesday, April 29, 2014

TEORI MEMBACA

Posted by Noorliyana Japar at 4:15 AM
Di dalam teori proses membaca, terdapat beberapa teori yang telah dikenal pasti iaitu teori Bottom-Up, teori Top-Down, teori Interaktif dan teori Transaksional.



TEORI BOTTOM-UP

Teori Bottom-up ini bermaksud dari bawah ke atas. Maksudnya, makna berasal dari bawah (teks) menuju ke atas (otak/kepala). Menurut teori ini teks yang akan menentukan pemahaman seseorang pembaca. Menurut Harris & Sipay (1980), membaca dalam proses Bottom-Up merupakan proses yang melibatkan ketepatan, perincian, dan rangkaian persepsi dan identifikasi huruf-huruf, kata-kata, pola ejaan, dan juga unit bahasa lainnya. Brown (2001) pula menyatakan bahawa melalui proses Bottom-Up, pembaca terlebih dahulu perlu mengetahui tanda linguistik, kemudian menggunakan mekanisme pemprosesan yang masuk akal, koheren dan bermakna.
           
     Melalui teori ini, pembaca perlu mengenal pasti huruf-huruf yang terdapat pada bahan bertulis terlebih dahulu, iaitu sama ada huruf tersebut dalam bentuk ortografi yang paling banyak digunakan oleh pelbagai bahasa di dunia pada masa ini seperti bentuk huruf roman iaitu tulisan rumi dan bentuk huruf arab iaitu tulisan jawi. Huruf-huruf ini seterusnya akan digabungkan dalam satu sistem ejaan yang digunakan dalam sesuatu bahasa untuk membentuk perkataan yang tertentu. Dari perkataan yang dibentuk, pembaca akan memperoleh makna daripada ayat yang terbentuk daripada kumpulan perkataan tersebut. Seterusnya, perenggan pula akan terbina daripada ayat yang telah terbentuk yang akan memberikan maksud secara berwacana kepada pembaca. Proses ini akan menjadi lengkap apabila pembaca memperoleh maklumat yang lengkap daripada bahan yang dibacanya.

     Rajah ini akan menerangkan bagaimana proses membaca bermula dari bawah ke atas seperti dalam teori Bottom-Up. 

 

Klik SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teori Top-Down.

TEORI TOP-DOWN

Teori ini juga dikenali sebagai model psikolinguistik dalam membaca dan telah dikembangkan oleh Goodman (1976). Teori ini melihat bahawa membaca adalah sebahagian dari proses pengembangan skema seseorang yakni pembaca secara stimultan (terus-menerus) menguji dan menerima atau menolak hipotesis yang dibuat sendiri pada saat proses membaca berlangsung. Proses membaca melalui teori ini bermula dengan hipotesis dan prediksi kemudian memverifikasinya dengan menggunakan stimulus yang berupa tulisan yang ada pada teks.

Menurut Yahya Othman (2003), teori Top-down merupakan proses dalam pembacaan seseorang pembaca dan pergerakan bahan bacaannya yang masih bersifat linear tetapi bergerak dari atas ke bawah. Teori yang berasaskan model psikolinguistik oleh Goodman ini lebih mengutamakan peranan pembaca semasa memahami teks yang dibacanya. Pembaca juga akan menggunakan pengetahuan bahasa dan pengalaman yang sedia ada pada diri pembaca bagi mengaitkannya dengan makna yang terdapat di dalam teks untuk memudahkan pembaca memahami teks.
         
       Melalui teori ini, pembaca tidak perlu mengenal pasti setiap patah perkataan yang terdapat pada bahan bercetak secara terperinci seperti teori Bottom-Up. Pembaca hanya perlu memahami bahan bacaan secara keseluruhan terlebih dahulu. Setelah itu, pembaca perlu membuat perincian mengenai maksud perenggan yang berbeza dan seterusnya mencerakinkan ayat-ayat yang terdapat pada setiap perenggan. Teori ini mengutamakan pembaca agar mendapat maklumat secara menyeluruh tanpa mementingkan tatabahasa dalam teks. Oleh itu, makna adalah lebih utama berbanding perkataan dalam teori ini.
    
        Rajah berikut akan menerangkan bagaimana proses membaca bermula dari atas ke bawah seperti dalam teori Top-Down.

 

Klik SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teori Top-Down.

TEORI INTERAKTIF


Teori Interaktif menggabungkan teori Top-Down dan teori Bottom-Up. Teori Top-Down yang digunakan dalam model Interaktif bertujuan supaya pembaca dapat menggunakan teori Top-Down untuk mencari maksud bagi mendapatkan sesuatu maklumat manakala model Bottom-Up digunakan untuk menganalisis fakta dan kebenaran maklumat yang diberikan oleh penulis. 

     Pengamal teori Interaktif akan berpendapat kegiatan membaca sebagai interaksi antara pembaca dengan teks. Dalam proses interaktif, membaca dimulakan dengan hipotesis sesuatu maklumat dan beralih kepada penghuraian maklumat tersebut. Teori Interaktif digunakan secara serata antara pengetahuan informasi grafik dan informasi dalam diri pembaca. Rubin (1982) menyatakan bahawa dalam model Interaktif, proses membaca ialah proses intelektual yang kompleks serta merangkumi dua kemampuan utama iaitu kemampuan memahami makna kata dan kemampuan berfikir tentang konsep verbal. Proses membaca secara interaktif juga merupakan mekanisme membaca yang menggunakan interaksi dalam pembacaan, berkomunikasi, menyampaikan dan menerima mesej bacaan dalam bahan bacaan yang dibaca. Proses bacaan ini lebih kepada mendapatkan maklumat daripada bahan rujukan yang sedang dibaca dengan menggunakan kawalan secara interaktif. Selain itu, pembaca digalakkan untuk mengungkapkan makna yang terkandung di dalamnya atau makna yang ingin disampaikan oleh penulis melalui teks yang dibacanya. Oleh itu, model Interaktif melibatkan banyak faktor yang bertujuan untuk memperoleh pemahaman melalui proses interaksi antara pembaca dengan bahan bacaanya.

    Rajah berikut akan menerangkan mengenai teori Interaktif dalam membaca.


Klik SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teori Interaktif.

TEORI TRANSAKSIONAL


Teori Transaksional merupakan sebahagian daripada teori Interaktif. Makna yang terdapat dalam teks akan menjadi keutamaan kepada pembaca melalui teori Transaksional.

     Teori Transaksional juga merupakan teori membaca yang dibuat untuk membina makna daripada kombinasi pembaca tertentu dalam masa yang tertentu dengan teks yang tertentu. Kombinasi tersebut merupakan transaksi antara pengarang, pembaca dan teks. Oleh itu, guru perlu berinisiatif melakukan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelajar untuk membaca seperti sentiasa bertanya soalan. Pelajar mampu didorong untuk membaca dengan lebih mendalam bagi memperoleh makna dan menggalakkan transaksi bacaan menjadi lebih kompleks melalui soalan yang ditanya. Pendirian pembacalah yang menentukan pengalaman yang mereka peroleh daripada teks.

  Rajah berikut akan menerangkan mengenai teori transaksional dalam membaca.



Klik SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teori Transaksional.






0 comments:

Post a Comment

 

KETERAMPILAN MEMBACA Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review