Wednesday, April 30, 2014

PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Posted by Noorliyana Japar at 12:30 PM
Bahan bacaan merupakan elemen terpenting dalam kegiatan membaca sesuai dalam usaha untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkesan. Bahan bacaan yang baik dapat dinilai dan dilihat dari pelbagai aspek. Antara kriteria yang boleh dipertimbangkan dalam proses pemilihan bahan bacaan yang baik ialah:

(i) Sesuai dengan tahap usia pelajar
Pemilihan bahan bacaan mestilah bersesuaian dengan peringkat umur seseorang pembaca. Hal ini demikian kerana, setiap peringkat umur mempunyai tahap pemahaman yang berbeza-beza. Oleh itu, pemilihan bahan bacaan yang sesuai amat penting kerana setiap pembendaharaan kata dan kosa kata dapat digunakan serta mampu difahami oleh pelajar. Sebagai contohnya, bagi kanak-kanak yang pada peringkat prasekolah, iaitu yang berumur antara 0- 6 tahun, mereka masih belum mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat ataupun cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang sesuatu kenyataan adalah sangat terhad jika dibandingkan dengan peringkat usia yang lain. Golongan prasekolah lebih sesuai menggunakan ayat yang berulang-ulang bagi memperkukuhkan pengamatan mereka terhadap huruf yang bercetak seperti buku cerita (bukan fisyen). Selain itu, buku untuk peringkat prasekolah perlulah mengandungi teks yang pendek dengan gambar untuk memudahkan pemahaman mereka. Oleh itu, usia yang berbeza-beza mempunyai keperluan bahan bacaan yang berlainan juga.

(ii) Fizikal tulisan dan ilustrasi
Fizikal tulisan juga akan mempengaruhi keberkesanan aktiviti membaca dalam kalangan pembaca. Fizikal tulisan boleh merujuk kepada reka bentuk tulisan tersebut, iaitu saiz tulisan, warna tulisan, jenis tulisan, jarak tulisan dan lain-lain. Penggunaan tulisan yang besar-besar, bergambar dan berwarna-warni lebih sesuai untuk kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, saiz huruf yang besar tidak dapat mengelirukan mereka. Selain itu, penggunaan ilustrasi yang terang dapat menarik minat golongan prasekolah untuk mengetahui kandungan dalam buku tersebut. Sebaliknya, pelajar sekolah menengah boleh menggunakan tulisan dan jarak antara tulisan yang kecil. Oleh itu, penerbit buku perlu teliti dan peka akan fizikal tulisan yang sesuai untuk golongan pembaca yang berbagai-bagai usia sebagai langkah untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

(iii) Bahasa yang sesuai
Kualiti bahasa dan sastera yang bermutu tinggi akan menarik minat pelajar sekolah menengah atas untuk membaca buku tersebut. Hal ini demikian kerana, bahasa dalam buku tersebut dapat membantu pelajar meningkatkan literasi dalam penggunaan kosa kata, rangkai kata, tatabahasa dan frasa yang sesuai dengan tahap umur mereka. Selain itu, penggunaan bahasa yang bermutu akan meningkatkan kemahiran mengarang seseorang pembaca. Pelajar sekolah menengah lebih menitikberatkan kemahiran mengarang kerana ia penting dalam silibus pelajaran mereka. Penguasaan bahasa yang kukuh dapat membantu mereka mendapat keputusan yang cemerlang. Oleh itu, bahan bacaan yang baik perlu seimbang dari segi bahasa yang digunakan agar tidak melampaui kemampuan pelajar daripada peringkat umur yang berbeza-beza.

(iv) Organisasi teks
Kualiti bahan bacaan yang baik dipengaruhi oleh organisasi teksnya. Susunan perenggan, tajuk-tajuk kecil akan menjamin kualiti sesebuah bahan bacaan. Organisasi teks akan memudahkan pembaca untuk membaca dan memahami buku tersebut. Di samping itu, susunan bahan bacaan juga perlu selaras dengan silibus yang diajar di sekolah. Penulis buku perlu memastikan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum menyusun bahan bacaan. Oleh itu, teks perlu disusun mengikut kesinambungan supaya tidak mengelirukan pembaca.

(v) Perbendaharaan kata
Faktor perbendaharaan kata yang digunakan melibatkan kepanjangan sesuatu perkataan, iaitu suku kata dan jumlah huruf dalam sesuatu teks bacaan. Perkataan yang panjang selalunya perkataan yang jarang digunakan sama ada di dalam teks ataupun istilah yang digunakan dalam bidang-bidang tertentu. Manakala, perkataan yang kerap digunakan merupakan perkataan yang mudah dikenali dan difahami. Oleh sebab itu, perbendaharaan kata yang ringkas harus digunakan dalam bahan bacaan kanak-kanak manakala perbendaharaan kata yang kompleks harus didedahkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.



0 comments:

Post a Comment

 

KETERAMPILAN MEMBACA Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review